Boleh kurangkan harga tak?


Anda sebagai pemilik Homestay mesti biasa dengan soalan sebegini? Kalau boleh anda sudah tentu masih mahu mengekalkan harga yang telah ditetapkan. Cukup mudah penempah bertanya soalan ini, tetapi bagaimana anda tidak mengiakannya dengan tidak mahu mengguris hati para penempah?

Berdasarkan tempahan yang saya terima sebelum ini, situasi ini akan berlaku apabila penempah ingin bermalam untuk beberapa hari atau lebih. Bilangan penginap yang sedikit juga antara faktor untuk meminta pengurangan harga. Ya, bagi situasi ini saya bersetuju dengan mereka. Selain ini, terdapat kes lain yang boleh kita pertimbangkan untuk penurunan harga apabila tiada tempahan bertindan, tempahan sebelumnya telah dibatalkan, daftar masuk lewat atau daftar keluar awal, untuk tempahan unit yang banyak, penempah-penempah berulang, hanya menggunakan beberapa bilik dan bukannya keseluruhan unit, terdapat peralatan atau kemudahan yang tidak memuaskan dan sebagainya.


Anda juga perlu bersedia dengan pelbagai karenah penempah yang juga meminta harga istimewa yang biasa ditawarkan oleh hotel, motel dan lain-lain. Antaranya adalah diskaun korporat, harga ahli, untuk golongan kerajaan, pelajar, universiti dan sebagainya.


Penurunan harga jangan terlalu drastik. Ia perlu dijadikan tanda aras apabila terdapat penginapan berulang atau informasi dari mulut ke mulut oleh penempah sebelumnya.